Sebanyak 41 kes penyakit berkaitan cuaca panas direkodkan setakat ini dengan 35 kes melibatkan kes kelesuan haba.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kes lain yang dicatatkan ialah tiga kes strok haba akibat aktiviti fizikal, dua kes strok haba dalam ruang tertutup, manakala satu kes kekejangan haba.
“Bagaimanapun, setakat semalam tiada kes baharu berkaitan cuaca panas dilaporkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Resipi “Mai Kurang” dan program Rewang Bersama Komuniti di Memorial Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur.
Mengenai cuaca panas, Dzulkefly memberitahu, lima negeri merekodkan cuaca panas Tahap 1 atau kategori berjaga-jaga membabitkan Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Pokok Sena, Pendang, Padang Terap dan Sik), Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai), Perak (Kuala Kangsar dan Hulu Perak) serta Jerantut di Pahang.
‘’Daerah Machang di Kelantan merekodkan cuaca panas Tahap 2 atau gelombang haba,’’ katanya.
Dzulkefly menyokong kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempertimbangkan untuk mengehadkan pergerakan Jemaah Menteri serta kementerian susulan krisis bekalan global.
Katanya, langkah itu selaras pendekatan kerajaan menekankan tatakelola kewangan berhemat, khususnya dalam menghadapi cabaran semasa.
‘’Langkah segera perlu dipertimbangkan bagi memastikan Malaysia tidak berdepan situasi catuan tenaga seperti yang berlaku di beberapa negara lain.”
Semalam, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan sedang memperhalusi langkah lebih drastik bagi mengurangkan penggunaan tenaga susulan krisis bekalan global, termasuk mempertimbangkan untuk mengehadkan pergerakan Jemaah Menteri serta kementerian.


