MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyita enam kenderaan berat dan mengeluarkan lapan kompaun menerusi Operasi Bersepadu Parkir Kenderaan Berat Kali Ke-9 Tahun 2026 yang dijalankan di sekitar Seksyen 27 dan Seksyen 28, Shah Alam, semalam.
MBSA dalam kenyataan memaklumkan, operasi itu dilaksanakan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan ditetapkan selain membanteras isu parkir kenderaan berat di kawasan yang tidak dibenarkan.
Menurut kenyataan itu, operasi dijalankan di sekitar Jalan Persiaran Sepang dan hasil pemeriksaan mendapati beberapa kenderaan melakukan kesalahan meletakkan kenderaan di kawasan larangan sehingga mengganggu aliran trafik.
“Sebanyak lapan kompaun dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil Taman 7(1), manakala enam kenderaan berat turut disita untuk tindakan lanjut.
“Kesemua kenderaan yang disita telah ditunda ke Depoh Tunda MBSA di Seksyen 17 dan Seksyen 31,” katanya.
Operasi itu diketuai Pegawai Penguat Kuasa MBSA, Rozaidi Ahmat dan turut disertai Ahli Majlis MBSA merangkap Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 10, Wan Shaharuddin Shah Ismail.
“Penguatkuasaan berkenaan turut melibatkan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan MBSA (Seksyen Lalu Lintas), Pejabat Cawangan Kota Kemuning serta Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MBSA,” katanya.
MBSA memaklumkan operasi seumpama itu akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan persekitaran bandar lebih teratur serta menjamin keselamatan dan kelancaran lalu lintas.
Sehubungan itu, pemilik serta pemandu kenderaan berat diingatkan supaya mematuhi peraturan parkir yang ditetapkan dan tidak meletakkan kenderaan di kawasan yang boleh mengganggu pengguna jalan raya lain.






