AKTIVITI perjudian yang dipercayai berlangsung secara terbuka di kawasan Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur terbongkar apabila lapan individu diberkas dalam serbuan polis, semalam.
Serbuan kira-kira jam 8 malam itu dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, operasi berkenaan membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan dan lima lelaki warga Myanmar berusia antara 30 hingga 45 tahun.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati dua daripada suspek dipercayai bertindak sebagai penganjur manakala enam lagi sebagai pemain.
“Kegiatan perjudian itu dipercayai aktif sejak dua bulan lalu dan beroperasi setiap hari bermula jam 7 malam hingga 10 malam.
“Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas sebuah meja, satu set mangkuk kaca kecil, tiga biji dadu serta wang tunai berjumlah RM6,266 yang dipercayai hasil kegiatan perjudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Katanya, kesemua mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Fadil berkata, pihak polis akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan perjudian haram yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat.






