DAP Negeri Sembilan lapor polis dakwaan fitnah libatkan institusi diraja

DAP Negeri Sembilan menegaskan parti itu tidak pernah mencampuri urusan institusi diraja negeri sebelum membuat laporan polis terhadap satu kenyataan yang didakwa memfitnah serta mengaitkan parti berkenaan dengan campur tangan terhadap institusi berkenaan.

Setiausaha Publisiti DAP Negeri Sembilan, Lim Chun Weng berkata, dakwaan dilemparkan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Rembau, Sukri Shamsuddin bukan sahaja tidak berasas, malah berpotensi mengelirukan rakyat.

Menurutnya, DAP sejak awal lagi menghormati institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“DAP tidak pernah campur tangan dalam isu institusi di Negeri Sembilan. Sejak hari pertama lagi, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke telah menyatakan dengan jelas bahawa parti ini menghormati institusi diraja negeri.

“Kami menjunjung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, menghormati Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin,” katanya pada sidang media di Seremban, hari ini.

Beliau berkata, politik pilihan raya tidak sepatutnya dibina atas fitnah dan pembohongan semata-mata untuk meraih sokongan pengundi.

Katanya, tindakan memainkan sentimen kaum serta mengheret institusi diraja ke dalam kempen politik hanya bertujuan menakut-nakutkan pengundi Melayu.

“Negeri Sembilan selama ini dikenali sebagai negeri yang aman dan harmoni. Jika mahu berkempen, bersainglah secara sihat menggunakan fakta dan dasar, bukannya mereka-reka cerita.

“Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki juga pernah mendakwa Anthony Loke boleh menjadi Menteri Besar sekiranya Pakatan Harapan menang, sedangkan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan telah menetapkan syarat yang jelas bagi jawatan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, dakwaan kononnya DAP cuba mempengaruhi istana merupakan tuduhan serius yang tidak sepatutnya dijadikan modal politik.

“Isu melibatkan institusi diraja tidak sepatutnya dijadikan bahan politik murahan, terutama ketika negeri berdepan situasi sensitif.

“Sebagai ahli politik, kita perlu bertanggungjawab terhadap setiap kenyataan yang dikeluarkan dan tidak mengheret institusi diraja ke dalam gelanggang politik,” katanya.

Menurut Chun Weng, laporan polis dibuat kerana kenyataan terbabit dipercayai berkemungkinan melanggar Seksyen 499 Kanun Keseksaan berkaitan fitnah, Seksyen 505 Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau turut menggesa semua pihak menghentikan politik fitnah dan kembali kepada persaingan politik yang berasaskan fakta serta rekod pencapaian.

“Jangan menakut-nakutkan pengundi Melayu dengan dakwaan kononnya orang Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Harapan menang.

“Kita sudah mentadbir Negeri Sembilan selama lapan tahun dan negeri ini kekal aman serta harmoni. Malah UMNO sendiri berada dalam Kerajaan Perpaduan sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Ditanya sama ada akan ada lagi laporan polis berhubung isu sama, beliau berkata, laporan yang dibuat hari ini merupakan tindakan pertama DAP Negeri Sembilan, namun tidak menolak kemungkinan tindakan susulan akan diambil jika perlu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img