POLIS memburu sekumpulan lelaki bermotosikal yang dipercayai memecahkan cermin lima buah kenderaan dalam kejadian khianat di kawasan parkir Desa Mentari, Petaling Jaya, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 5 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sekumpulan lelaki yang menaiki tiga buah motosikal bertindak memecahkan cermin beberapa kenderaan sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Setakat ini, sebanyak lima buah kenderaan dilaporkan mengalami kerosakan akibat kejadian tersebut.
“Bagaimanapun, tiada kehilangan harta benda dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Katanya, usaha mengesan dan menangkap semua suspek sedang giat dijalankan termasuk meneliti rakaman video yang diperoleh daripada saksi kejadian bagi membantu siasatan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Suhafiz Soaid di talian 019–8144746 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.






