Remaja maut ditembak rakan dengan senapang buatan sendiri

SEORANG pelajar tingkatan dua maut akibat terkena tembakan senapang buatan sendiri atau ‘bakakuk’ ketika bermain bersama rakannya di halaman rumah di Keningau, Sabah semalam.

Rakannya dikatakan secara tidak sengaja melepaskan tembakan dari jarak kira-kira tiga meter sebelum mangsa lelaki berusia 14 tahun itu rebah dengan 14 kesan tembakan, kira-kira jam 8 pagi.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Keningau oleh penduduk kampung namun disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Unit Kecemasan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil anak Garai berkata, siasatan awal mendapati rakannya pada mulanya ternampak mangsa memegang senjata itu sebelum memintanya untuk bergurau.

Katanya, suspek dipercayai secara tidak sengaja menarik picu senjata lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa ketika mereka bermain sembunyi-sembunyi di bawah kolong rumah.

“Suspek panik lalu meminta bantuan orang kampung yang kebetulan melintas sebelum mangsa dibawa ke hospital.

“Pemeriksaan doktor mendapati terdapat 14 kesan tembakan pada beberapa bahagian tubuh termasuk dada kanan, lengan kanan, lutut dan sisi kiri badan mangsa,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.

Mengulas lanjut, Yampil berkata, polis mendapati senjata berkenaan disorok oleh seorang lagi remaja yang juga adik suspek manakala pemiliknya adalah bapa mereka yang berusia 70 tahun.

Katanya, tiga beranak itu ditahan untuk siasatan lanjut.

“Mangsa adalah rakan rapat suspek dan sering bermalam di rumah keluarga berkenaan.

“Bedah siasat dijalankan hari ini di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Kita telah merampas bakakuk, peluru hidup, kelongsong peluru, pakaian suspek serta dua telefon bimbit bagi membantu siasatan.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img