SETIAUSAHA Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menegaskan kesihatan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berada dalam keadaan baik.
Katanya, Ahli Parlimen Pagoh itu sedang giat membuat persiapan menjelang Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu hujung minggu ini.
Azmin berkata, beliau sering berhubung dengan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menjelang perhimpunan berkenaan yang akan dihadiri oleh 2,555 perwakilan daripada 202 bahagian.
“Kesihatan presiden baik. Beliau cukup bertenaga. Saya sebagai Setiausaha Agung mengadakan perbincangan dengan beliau hampir setiap hari, khususnya dalam persiapan perhimpunan agung tahunan,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.
Menurut Mohamed Azmin, bekas Perdana Menteri itu cukup aktif dan sedang menyiapkan ucapan dasar yang cukup komprehensif.
“Jadi tidak timbul masalah kesihatan beliau. Saya kira beliau bersedia untuk terus memimpin parti lebih aktif. Malahan dalam tempoh enam bulan ini, beliau menunjukkan komitmen besar untuk turun di lapangan khususnya di negeri, ke bahagian-bahagian, kerana pimpinan Bersatu cukup bersedia menghadapi PRU akan datang,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Azmi memaklumkan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu akan diadakan pada Sabtu dan Ahad ini di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.
Beliau berkata, seramai 94 jemputan khas termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad, wakil kedutaan, pemimpin parti sahabat serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dijangka hadir.
“Bersatu merupakan parti politik yang terbesar dan mempunyai tapak sokongan yang kuat di seluruh negara termasuk 25 Bahagian di Sabah, 11 Bahagian di Sarawak dan 1 Bahagian di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.
Katanya lagi, sambutan Ulangtahun Ke-9 Bersatu pula akan diadakan pada hari Ahad pukul 8 malam.


