SIKAP tidak bertanggungjawab individu yang melakukan vandalisme di jejantas pejalan kaki simpang empat Tanjong Tokong, Pulau Pinang mengakibatkan kemudahan lif rosak teruk.
Akibatnya, perkhidmatan lif di jejantas tersebut terpaksa dihentikan sepenuhnya, sekali gus menjejaskan keselamatan serta pergerakan pengguna.
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Lee Seng Hwai berkata, kejadian itu dilaporkan oleh pemaju yang menyelenggara jejantas berkenaan selepas menerima aduan daripada pengguna.

Menurut beliau, jejantas yang dibuka kepada orang awam pada 2023 itu berfungsi menghubungkan pejalan kaki dari Jalan Fettes ke Jalan Seri Tanjung Pinang, namun terlibat vandalisme serius sejak kebelakangan ini.
“Hasil pemeriksaan mendapati kerosakan pada lif berpunca daripada kehadiran cecair pada sistem pendawaian dan sensor sehingga menyebabkan pendawaian serta sensor berkenaan terbakar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selain kerosakan lif, cermin di jejantas berkenaan turut dipecahkan sekali gus meningkatkan risiko keselamatan bukan sahaja kepada pengguna jejantas malah kepada kenderaan dan penunggang motosikal yang melalui laluan di bawahnya.
“Antara kerosakan yang dikenal pasti adalah dua panel keluli butang lif dikopek, dua sistem pendawaian lif rosak, sensor alatan elektronik pada dua lif terbakar serta empat keping cermin di tingkat atas dan bawah jejantas pecah.
“Akibat kerosakan tersebut, pengoperasian kesemua lif terpaksa dihentikan sepenuhnya sehingga kerja-kerja pembaikan dapat dijalankan,” ujarnya.
Tambah beliau, setakat ini jangka masa serta kos pembaikan lif dan penggantian cermin yang rosak belum dapat dipastikan.
“Kemudahan lif tersebut amat penting kerana digunakan oleh orang awam termasuk warga emas, wanita hamil dan golongan orang kurang upaya yang bergantung kepada fasiliti berkenaan untuk menyeberangi jalan dengan selamat.
“Kerosakan ini secara langsung menafikan hak serta keselamatan golongan yang memerlukan kemudahan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Seng Hwai menyifatkan kegiatan vandalisme berkenaan sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab yang mencerminkan sikap segelintir pihak yang tidak menghargai kepentingan harta awam.
“Lebih membimbangkan, perbuatan sebegini turut mencemarkan imej Pulau Pinang dan Malaysia di mata pelancong, khususnya daripada segi tahap kesedaran masyarakat terhadap pemeliharaan kemudahan awam dan nilai ketamadunan.
“Semua kemudahan awam yang disediakan adalah milik bersama dan perlu dijaga secara kolektif bagi memastikan ia dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat tanpa gangguan,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan sentiasa komited menyediakan kemudahan awam demi kesejahteraan rakyat, namun usaha membentuk sebuah negeri bertamadun memerlukan kerjasama semua lapisan masyarakat.


