PEMULIHAN Tun Dr.Mahathir Mohamad dijangka mengambil jangka masa agak lama memandangkan doktor pakar memutuskan bahawa rawatan fisioterapi tanpa pembedahan merupakan pilihan terbaik buat bekas Perdana Menteri itu.
Bekas Perdana Menteri itu kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami patah tulang pinggul akibat terjatuh di kediamannya Selasa lalu.
Setiausaha Akhbar beliau, Sufi Yusoff berkata, keputusan tersebut dibuat hasil perbincangan bersama pasukan doktor pakar dari Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dan Hospital Kuala Lumpur.
“Mengambil kira faktor usia Tun Dr Mahathir, proses pemulihan ini dijangka mengambil jangka masa yang agak lama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sufi berkata, Dr.Mahathir masih meneruskan rawatan di IJN dan tidak dibenarkan menerima pelawat kecuali keluarga terdekat buat masa ini.
Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih daripada Dr. Mahathir dan keluarga bekas Perdana Menteri itu atas keprihatinan semua pihak yang sentiasa mendoakan kesihatan serta kesejahteraan beliau.


