SEORANG penunggang motosikal maut dirempuh sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Sungai Lalang di Kajang pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi mengakibatkan mangsa, lelaki tempatan berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika sebuah lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 61 tahun keluar dari sebuah premis di jalan berkenaan.
“Ketika lori terbabit sedang membelok ke kanan untuk memasuki jalan utama, motosikal yang ditunggang mangsa datang dari arah hadapan sebelum melanggar bahagian kanan lori berkenaan.
“Berikutan pelanggaran itu, mangsa terjatuh ke atas permukaan jalan dan mengalami kecederaan pelbagai sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua individu yang terbabit dalam kemalangan itu bekerja sebagai pemandu lori.
Tambahnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-326 8496 bagi membantu siasatan,” katanya.


