SEPASANG suami isteri warga emas ditemukan maut dalam keadaan rentung selepas rumah dua tingkat yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Lausan, Batu 4, Kudat malam tadi.
Mangsa seorang lelaki berusia 74 tahun dan isterinya yang berusia 73 tahun ditemukan oleh pasukan penyelamat di dalam bilik tidur kediaman tersebut selepas api berjaya dipadamkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.58 malam.
Katanya, seramai 10 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai.
Darikson berkata, pasukan penyelamat berdepan cabaran untuk sampai ke titik kebakaran.
”Operasi memadam kebakaran berdepan kesukaran berikutan laluan masuk yang sempit, termasuk kewujudan jambatan kecil serta kedudukan wayar elektrik yang rendah. Faktor-faktor ini telah menghalang pergerakan lancar jentera bomba untuk merapati lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kebakaran yang melibatkan rumah jenis tidak kekal itu berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.30 pagi. Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada jam 2 pagi manakala mangsa kedua ditemukan dan dikeluarkan kira-kira jam 3.50 pagi.
Kedua-dua mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan proses pengecaman. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.47 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi punca api tersembunyi, kata beliau.
Menurut Darikson, punca kebakaran serta jumlah kerugian kini dalam siasatan unit forensik bomba.


