SEORANG kelindan maut akibat tersepit selepas kenderaan dinaikinya terbalik dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 386 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan berhampiran Slim River dekat Tanjung Malim, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.35 pagi itu, kelindan lelaki berusia 33 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian apabila treler muatan gula pasir dinaikinya dikatakan terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik.
Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, bilik gerakan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River menerima panggilan mengenai kejadian itu diterima pada jam 9.45 pagi.
“Ketua operasi telah menjalankan penilaian awal dan mengaplikasikan konsep SAVER sebelum anggota melakukan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu treler berusia 51 tahun bagaimanapun selamat tanpa mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebuah lagi kenderaan terlibat iaitu lori muatan barangan plastik didapati telah terbabas ke dalam longkang semasa anggota tiba di tempat kejadian.
Katanya, keadaan itu mengakibatkan pemandunya, seorang lelaki berusia 32 tahun mengalami kecederaan ringan.
“Seramai lapan anggota bomba terlibat dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.30 pagi,” katanya.


