Warga Bangladesh maut dihempap kren terbalik

SEORANG pengendali kren warga Bangladesh maut selepas sebuah kren jenis ‘spider lift’ terbalik dan menghempapnya dalam satu kemalangan di Jalan Perak, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian itu turut melibatkan dua buah kereta.

“Laporan berhubung kejadian itu diterima kira-kira jam 10.40 malam ketika mangsa sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan papan tanda bangunan di bahu jalan.

 “Siasatan awal mendapati kren tersebut dikendalikan menggunakan alat kawalan jauh sebelum dipercayai terlanggar tebing kaki lima, menyebabkan ia hilang imbangan dan terbalik.

“Kren yang terbalik itu kemudian menghempap pengendali berkenaan serta dua buah kenderaan berhampiran iaitu sebuah Proton Persona dan sebuah BMW 523i,” katanya dalam  kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, salah sebuah kenderaan tersebut dinaiki seorang pemandu dan penumpang, manakala sebuah lagi hanya dipandu oleh pemandu.

“Bagaimanapun, kesemua mereka dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pengendali kren berusia 32 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti syarikat pemilik kren dan kontraktor terlibat, selain menyemak permit kebenaran kerja yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian turut sedang diperoleh bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img