Pendidikan Kiblah lahirkan 3,000 lepasan, 186 hafiz sepanjang 34 tahun beroperasi

PENDIDIKAN Kiblah terus membuktikan keupayaannya sebagai antara model pendidikan tahfiz paling konsisten di negara ini apabila berjaya melahirkan lebih 3,000 lepasan pelajar sepanjang 34 tahun penubuhannya, termasuk lebih 120 hafiz al-Quran 30 juzuk.

Bermula dengan penubuhan Sekolah Kiblah di Tanjung Kling, Melaka pada 1992, institusi ini berkembang dengan penubuhan Maahad Tahfiz Kiblah di Sungai Merab, Bangi pada 1997, yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), sebelum diperluaskan lagi melalui Kolej Profesional Kemahiran Kiblah pada 2020.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Nusantara, Tan Sri Dr Hashim Meon berkata, hampir 3,000 pelajar telah menamatkan pengajian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di maahad tahfiz itu, selain ramai yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi serta menyumbang dalam pelbagai bidang profesional.

Menurut beliau, seramai 73 graduan Pengajaran Tahfiz turut dilahirkan menerusi program Sijil Kemahiran Malaysia, sekali gus menyediakan tenaga pengajar tahfiz bertauliah untuk ditempatkan di institusi tahfiz di seluruh negara.

Kolej profesional kemahiran Kiblah yang berasaskan Maahad Tahfiz merupakan sebuah Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia yang menjalankan beberapa program latihan kemahiran bukan sahaja program pengajaran tahfiz tetapi juga bidang elektrik, kimpalan dan automotif. Kolej ini juga telah mendapat kelulusan untuk pengambilan pelatih dari negara luar khusus dalam jurusan TVET.

Sementara itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyifatkan pendekatan pendidikan bersepadu Pendidikan Kiblah sebagai selari dengan usaha memperkukuh sistem tahfiz yang lebih lestari, progresif dan diiktiraf, termasuk sebagai laluan ke institusi pengajian tinggi seperti Universiti Islam Selangor (UIS).

Pengerusi MAIS, Senator Datuk Setia Salehuddin Saidin berkata, model pendidikan yang menggabungkan hafazan al-Quran, akademik dan kemahiran ini berpotensi dijadikan contoh di peringkat nasional dalam melahirkan generasi hafiz yang berdaya saing dan berakhlak.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img