Maritim Malaysia Labuan gagalkan cubaan seludup minuman keras hampir RM200,000

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Labuan berjaya menggagalkan percubaan menyeludup keluar 540 karton minuman beralkohol bernilai hampir RM200,000 dari perairan pulau bebas cukai itu, malam tadi.

Pengarahnya, Kepten Maritim Izwanhadi Idros berkata, rampasan itu dibuat semasa rondaan rutin di bawah Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 3.0.

Menurutnya, bot peronda agensi itu, PETIR 90 mengesan tiga bot yang mencurigakan pada jam 8.15 malam, kira-kira 0.4 batu nautika tenggara Pulau Papan.

“Sebaik sahaja pasukan Maritim Malaysia menghampiri untuk melakukan pemeriksaan, ketiga-tiga bot itu cuba melarikan diri. Dua bot berpatah balik ke arah perairan Petronas Methanol, manakala sebuah lagi terkandas di Pulau Balangkasan.

“Suspek dipercayai telah terjun ke laut dan melarikan diri ke pulau itu,” katanya hari ini, lapor Bernama.

Izwanhadi berkata, anggota penguat kuasa berjaya menarik bot terkandas itu yang kemudiannya didapati dipenuhi dengan karton minuman beralkohol pelbagai jenama.

“Tiada suspek ditemui semasa pemeriksaan susulan di kawasan sekitar,” katanya.

Tambah beliau, bot dan muatan yang dirampas dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Labuan untuk siasatan lanjut, sambil memberitahu kes ini disiasat di bawah undang-undang anti penyeludupan dan kastam yang berkaitan.

Beliau turut menggesa orang ramai, terutamanya komuniti maritim, untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Malaysia Labuan di talian 087-42 7999 untuk tindakan segera.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img