PERGERAKAN Pemuda UMNO menyifatkan tindakan merehatkan sementara Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki adalah langkah paling bertanggungjawab ketika siasatan berhubung dakwaan pemilikan saham ke atas beliau sedang dijalankan.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, langkah itu perlu bagi menjaga integriti dan kredibiliti institusi itu sebagai agensi utama membanteras rasuah.
Selain itu, langkah merehatkan individu yang disiasat itu adalah amalan standard dalam mana-mana institusi yang mementingkan integriti.
“Perlu diingat, ini bukan hukuman tetapi langkah pentadbiran bagi mengelakkan persepsi campur tangan atau konflik kepentingan.
“Kepada Tan Sri Azam Baki, prinsipnya mudah – berani kerana benar. Jika tidak bersalah, rehat sementara bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti.
“Malah, ia memberi ruang kepada siasatan dijalankan dengan lebih bebas dan telus. Sekiranya didapati tidak bersalah, beliau boleh kembali menjalankan tugas dengan mandat moral yang jauh lebih kuat,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan bagi isu pemilikan saham oleh Azam.
Azam kemudian dilapor menyatakan beliau tidak perlu bercuti susulan siasatan berkait isu pemilikan saham yang sedang dijalankan terhadapnya.
Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata, proses undang-undang perlu berjalan tanpa kompromi.
“Rakyat hari ini bukan sekadar mahu melihat rasuah dibanteras, tetapi mahu melihat bagaimana ia dibanteras.
“Ketelusan bukan pilihan, ia adalah keperluan dan kepercayaan rakyat tidak akan datang melalui kenyataan semata-mata, tetapi melalui tindakan berani yang menunjukkan bahawa institusi lebih besar daripada mana-mana individu,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan kerajaan bagi menyiasat Azam dipantau oleh badan bebas, sama ada melalui Jawatankuasa Parlimen dwipartisan atau tribunal bebas yang mempunyai kredibiliti tinggi.
Menurutnya, perkara itu juga bukan soal mempertikaikan mana-mana pihak, tetapi bagi memastikan keputusan siasatan tidak dipandang sebagai keputusan ‘kerajaan menyiasat kerajaan’.
“SPRM adalah institusi yang berdiri atas satu asas paling penting yakni kepercayaan rakyat. Tanpa kepercayaan itu, apa juga siasatan, pendakwaan dan usaha memerangi rasuah akan sentiasa dipersoalkan, malah boleh dilihat sebagai tidak mempunyai legitimasi moral di mata rakyat.
“Sebab itu, dalam mana-mana negara yang serius memerangi rasuah, integriti institusi adalah lebih penting daripada mempertahankan individu.
“Hari ini, apabila wujud siasatan terhadap kepimpinan tertinggi SPRM, persoalan pokok yang perlu dijawab bukan sekadar ‘apa keputusan siasatan’, tetapi sejauh mana proses siasatan itu diyakini bebas, telus dan tidak mempunyai konflik kepentingan. Jika prosesnya sendiri diragui, maka apa juga hasilnya nanti tetap akan dipersoalkan,” katanya.


