KEMELUT dalaman parti Bersatu memasuki fasa lebih kritikal hari ini apabila beberapa bahagian di seluruh negara mengumumkan pembubaran jawatankuasa masing-masing, tindakan yang dilihat berpunca daripada hilang kepercayaan terhadap pimpinan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengumuman pembubaran yang dibuat itu sekali gus mencerminkan gelombang ketidakpuasan akar umbi terhadap kepimpinan Pusat.
Di Perak, Bahagian Larut, Padang Rengas dan Tapah mengesahkan pembubaran jawatankuasa serta peletakan jawatan beramai-ramai, dengan sebahagiannya turut mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Langkah itu dikaitkan dengan rasa tidak sehaluan terhadap hala tuju kepimpinan semasa susulan tindakan disiplin dan pemecatan yang berlaku sebelum ini.
Di Pulau Pinang, Bahagian Kepala Batas dan Tanjong turut mengumumkan pembubaran jawatankuasa masing-masing selepas mengadakan mesyuarat dalaman.

Turut mencuri perhatian adalah tindakan Srikandi Bukit Gelugor yang membubarkan kepimpinan sayap wanita bahagian itu dan menyatakan pendirian keluar parti secara kolektif.

Perkembangan ini menunjukkan gelombang ketidakpuasan yang semakin meluas dan tidak lagi bersifat terpencil. Dalam masa sama, enam lagi bahagian di Kelantan dijangka mengumumkan pembubaran pada Sabtu ini, satu langkah yang berpotensi memperluas lagi krisis dalaman parti berkenaan.
Bagaimanapun, kepimpinan Pusat tampil menjelaskan kedudukan Perlembagaan parti susulan pengumuman terbabit.
Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang juga Ketua Bersatu Balik Pulau, Harris Idaham Rashid menegaskan bahawa tiada peruntukan dalam Perlembagaan Bersatu yang membenarkan jawatankuasa bahagian atau negeri mengumumkan pembubaran parti di kawasan masing-masing.

Menurut beliau, kuasa tersebut tertakluk sepenuhnya di bawah Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti yang dipengerusikan Presiden.
“Kebelakangan ini Armada melihat perkembangan beberapa jawatankuasa bahagian mengumumkan Bahagian masing-masing terbubar kerana mereka telah meletak jawatan. Tidak ada mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Bersatu membenarkan jawatankuasa bahagian mengumumkan pembubaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penegasan itu sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kesahihan pengumuman pembubaran yang dibuat di peringkat Bahagian.
Namun dari sudut politik, gelombang peletakan jawatan dan pembubaran yang berlaku hari ini tetap memberi isyarat jelas bahawa Bersatu kini berdepan cabaran kesatuan yang serius dan berisiko memberi kesan terhadap kekuatan organisasinya dalam landskap politik nasional.


