Kisah pilu ibu-ibu tunggal di Gaza sambut Ramadan

FOKUS JUMAAT

PADA  hari pertama bulan suci Ramadan, Mariam Tlouli memanggil suaminya untuk berbuka puasa. “Yalla, Mahmoud. Azan hampir berkumandang. Mari, kamu semua,” katanya.

Namun pada saat itu, Mariam tersedar dia sebenarnya berhalusinasi dan teringat bahawa suaminya telah terbunuh tahun lalu.

Dia pergi melihat dua orang anaknya di dalam khemah sementara mereka di Deir al-Balah, tengah Gaza, dan mendapati mereka masih tidur dengan tenang.

“Aku rindu kamu, Mahmoud,” bisiknya sambil menyentuh anak lelakinya, Ahmed.

Setiap Ramadan, sebelum perang genosid Israel bermula pada Oktober 2023, Mahmoud menyambut bulan suci itu dengan penuh kegembiraan dan persiapan rapi: mengunjungi pusat beli-belah untuk membeli makanan dan keperluan, menggantung hiasan Ramadan, menziarahi saudara-mara, serta membeli pakaian baharu untuk keluarga, termasuk abaya dan jubah untuk solat Tarawih di masjid.

Tahun ini merupakan Ramadan pertama keluarga itu tanpa salah seorang ahlinya di meja iftar, meninggalkan hanya kesedihan dan kehilangan, ditambah pula dengan sekatan bantuan oleh Israel serta gencatan senjata yang rapuh dan terus dicabuli.

Mariam memberitahu Quds News Network bahawa Israel bukan sahaja membunuh suaminya, tetapi turut memusnahkan satu-satunya tonggak kekuatannya, satu-satunya tempat dia bergantung di dunia ini.

“Tulang belakang keluarga kami telah tiada; saya dan anak-anak sudah tidak mempunyai sesiapa untuk bersandar. Kini, sehari tanpa suami terasa seperti setahun lamanya, bagaimana mungkin saya boleh terus kuat?” kata Mariam.

Namun, Mariam bukan bersendirian dalam kesedihannya. Di seluruh Gaza, ribuan wanita menyambut Ramadan tanpa suami, terpaksa memikul peranan sebagai pencari nafkah tunggal di wilayah yang sudah pun musnah akibat berbulan-bulan peperangan. Apa yang dahulunya musim pertemuan, ibadah dan kemurahan hati kini menjadi peringatan tentang kehilangan.

Sejak Oktober 2023, perang Israel ke atas Gaza telah membunuh lebih 72,000 rakyat Palestin, menurut Kementerian Kesihatan, dengan wanita dan kanak-kanak merangkumi sebahagian besar korban. Selain yang terkorban, tidak terhitung banyaknya keluarga yang berpecah-belah, meninggalkan balu yang bergelut untuk terus hidup serta anak-anak yang membesar tanpa bapa.

Menurut Mariam, keluarganya kini tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan sejak suaminya terbunuh.

Jika sebelum ini mereka berkongsi tanggungjawab rumah tangga dan kewangan, kini dia menanggung sepenuhnya beban menyediakan makanan, menjaga anak-anak yang trauma, dan mengharungi kehidupan seharian tanpa kestabilan kewangan.

“Kami bergantung kepada makanan panas dan bantuan yang disediakan oleh organisasi bantuan. Saya beratur berjam-jam untuk mendapatkan satu bahagian yang hampir tidak mencukupi untuk seorang, sedangkan kami bertiga. Walaupun sedang berpuasa, kami tetap bergantung pada bantuan ini untuk terus hidup,’’ kata Mariam.

Tambahnya, anak lelakinya yang berusia 14 tahun, Ahmed, merindui perkara-perkara biasa yang dinikmati kanak-kanak lain, namun dia tidak mampu menyediakannya.

“Dia sangat kecewa. Dia sentiasa sedih, dan hatinya pedih melihat kanak-kanak lain bersama bapa mereka. Bagi kanak-kanak lelaki seperti Ahmed, Ramadan akan dikenang bukan dengan tanglung, manisan dan detik kegembiraan, tetapi dengan kesunyian di meja iftar.

“Kami tiada rumah, tiada tempat berteduh, malah bantuan kemanusiaan yang konsisten pun tiada. Kehilangan suami saya bukan kehilangan biasa; ia seperti memutuskan talian hayat keluarga kami,’’ katanya.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, lebih 16,000 wanita telah menjadi balu dan lebih 44,000 kanak-kanak menjadi yatim akibat perang Israel ke atas Gaza.

Sebelum genosid ini, balu dan anak yatim di Gaza bergantung kepada rangkaian bantuan kecil tetapi penting. Bantuan kewangan yang terhad – apabila ada – membantu wanita bertahan selepas kehilangan sumber pendapatan secara mengejut. Inisiatif tempatan turut menawarkan sesi kaunseling, bengkel kemahiran dan aktiviti komuniti.

Namun sejak Oktober 2023, beberapa institusi tempatan dan antarabangsa yang sebelum ini menawarkan bantuan sama ada telah dimusnahkan oleh Israel atau terpaksa menghentikan perkhidmatan akibat perang.

Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober, para balu di seluruh Semenanjung Gaza masih berdepan perjuangan harian yang tidak berkesudahan untuk mendapatkan makanan, air dan tempat perlindungan bagi anak-anak mereka, ketika Israel terus mengehadkan kemasukan bantuan kemanusiaan walaupun dalam bulan puasa.

Aya Madi, 30 tahun, ibu kepada tiga orang anak, kehilangan suaminya pada 2024. Ramadan ini juga merupakan yang pertama buatnya sebagai balu.

Sejak kematian suaminya, dia memikul sendirian tanggungjawab berat memastikan anak-anaknya selamat — daripada pengeboman, daripada kelaparan, dan daripada ketidakpastian yang mentakrifkan kehidupan harian di Gaza.

“Setiap pagi dalam Ramadan, saya bangun dengan bertanya kepada diri sendiri bagaimana saya akan memastikan anak-anak saya terus hidup hari ini,” katanya kepada QNN.

Bagi Aya, kelangsungan hidup telah menjadi rutin yang melelahkan, walaupun dalam bulan suci yang dahulunya melambangkan rahmat dan kebersamaan.

Pada waktu subuh, sebelum memulakan puasa, dia mengumpulkan sisa kayu untuk menyalakan api kecil bagi memasak. Kemudian, dia beratur berjam-jam untuk mengisi bekas air, dan sekali lagi berdiri dalam barisan panjang di luar dapur komuniti, berharap memperoleh sedikit sup atau nasi. Kadangkala dia terpaksa mendukung bayinya kerana anak itu panik apabila ditinggalkan di dalam khemah.

Untuk menyara anak-anaknya, Aya terpaksa menjual salah satu harta paling berharganya — seutas barang kemas yang dihadiahkan suaminya pada hari perkahwinan mereka.

“Ia sangat berharga bagi saya dan penuh dengan kenangan bahagia.Tetapi saya tidak boleh membiarkan bayi perempuan saya kelaparan. Dia perlukan susu dan lampin,’’ katanya.

Ramadan kali ini, bukan lagi tentang menyediakan juadah istimewa atau menziarahi keluarga. Bagi Aya, hari-harinya diukur dengan kelangsungan hidup: mendapatkan air, mencari makanan, dan berbuka puasa dengan apa sahaja bahagian kecil yang mampu diperolehnya, sendirian.

“Penderitaan semakin bertambah. Kami berharap gencatan senjata akan memulihkan kehidupan selepas bertahun-tahun pembunuhan dan kebuluran yang berterusan, tetapi realiti di lapangan adalah sebaliknya,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img