SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengambil tindakan terhadap penularan semula satu video lama pada tahun 2024 melibatkan insiden di Singapura oleh seorang warganya, memaparkan kandungan berunsur penghinaan terhadap agama Islam termasuk perbuatan memijak al-Quran.
Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung kandungan berkenaan yang dipercayai dimuat naik semula sehingga mencetuskan kegusaran serta ketegangan dalam kalangan masyarakat.
Menurut MCMC, berdasarkan siasatan awal, dipercayai individu yang terlibat merupakan seorang warga Singapura dan insiden tersebut juga dipercayai berlaku di republik itu.
“Sehubungan itu, MCMC sedang bekerjasama dengan pihak platform media sosial terlibat khususnya Threads, Facebook dan TikTok, bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil termasuk menyekat penyebaran serta akses terhadap kandungan berkenaan di Malaysia.
“MCMC menegaskan bahawa sebarang penyebaran kandungan yang menyentuh sensitiviti agama serta berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk negara ini merupakan satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang selaras dengan peruntukan yang berkuat kuasa,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan semula kandungan tersebut.
Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada MCMC melalui pautan https://aduan.mcmc.gov.my atau kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.


