CUBAAN pendatang asing tanpa izin (PATI) menyeludup masuk ke negara ini sebaik mendarat di kawasan persisiran Pantai Remis, Perak melalui laluan yang tidak diwartakan gagal selepas ditahan polis pagi ini.
Tekong darat yang membawa sembilan PATI warga Indonesia menggunakan kereta Perodua Alza dipercayai berhasrat membawa mereka ke rumah penampungan di kawasan Meru, Klang, bagi diserahkan kepada seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai ‘Pak Haji’.
Kegiatan itu terbongkar apabila Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor menahan kenderaan terbabit di sebuah stesen minyak di Pasir Panjang, Sekinchan, pada jam 6.30 pagi hari ini.
Wartawan yang menyertai operasi tersebut memaklumkan mereka telah menunggu sejak pukul 10 malam semalam selepas menerima maklumat mengenai sebuah bot pom-pom yang membawa PATI dijangka mendarat di perairan negara, lapor Harian Metro.
Pada awalnya, bot berkenaan dijangka mendarat di kawasan perairan Selangor, namun sindiket mengubah laluan bagi mengaburi pihak berkuasa dengan mendarat di Pantai Remis, Perak.
Sindiket tersebut dikatakan mengupah tekong darat warga tempatan dan menyewa kereta Perodua Alza sebelum mengambil PATI di lokasi pendaratan dan membawanya ke kawasan Sabak Bernam.
Sebaik tekong darat berhenti di stesen minyak, polis yang mengekori mereka melakukan serbuan dan pemeriksaan, menemui PATI yang duduk berhimpit di dalam kenderaan. Pemeriksaan mendapati enam lelaki dan tiga wanita bersembunyi di dalam kereta dan kelihatan terkejut melihat kehadiran polis.
Siasatan awal mendapati kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Mereka turut dilaporkan membayar antara RM1,500 hingga RM1,600 secara tunai kepada tekong bot sebelum berlepas.
Polis merampas kereta Perodua Alza, dua telefon bimbit serta satu anak kunci dalam operasi berkenaan. Semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, mengesahkan tangkapan tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.


