‘Apabila al-Quran dipijak, diam bukanlah satu pilihan’ – Sultan Pahang

SULTAN Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan dukacita dan kesal atas insiden yang dilihat sengaja mengganggu-gugat keharmonian negara dan negeri ini.

Baginda bertitah, kekesalan itu termasuk isu terkini yang membabitkan seorang mahasiswa daripada universiti awam negeri ini yang bertindak memijak naskhah al-Quran.

Titah baginda, perbuatan itu bukan sahaja satu tindakan yang sangat biadab, bahkan suatu penghinaan yang menggores hati umat Islam serta menggugat keharmonian masyarakat yang dibina atas asas saling menghormati.

“Apabila al-Quran dipijak, maka yang tercalar bukan sekadar kertasnya tetapi kesucian wahyu dan maruah umat. Dalam hal ini, saya menegaskan apabila al-Quran dipijak, diam bukanlah satu pilihan. Diam dalam keadaan agama dihina adalah tanda lemahnya jiwa dan pudarnya maruah.

“Sepertimana ungkapan yang pernah dizahirkan oleh Buya Hamka: “Jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan.” Ungkapan ini bukan seruan kepada keganasan tetapi peringatan bahawa mempertahankan maruah agama adalah kewajipan moral dan tanggungjawab iman.

“Namun, mempertahankannya hendaklah dengan hikmah, adab dan berpandukan undang-undang,” titah baginda pada majlis perasmian masjid baharu Felda Jengka 19 yang dimasyhurkan dengan nama Masjid Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Felda Jengka 19 di Maran hari ini, lapor Harian Metro.

Titah baginda, Islam menuntut ketegasan tetapi dalam lingkungan keadilan.

“Kita tidak boleh membiarkan penghinaan berlaku, namun kita juga tidak boleh membalas dengan tindakan yang meruntuhkan keamanan. Menang jadi arang, kalah jadi abu, jika emosi menguasai akal, semua pihak akan rugi.

“Sebagai ketua dan pelindung agama Islam negeri Pahang, saya menegaskan bahawa sebarang penghinaan terhadap Islam wajib ditangani secara tegas tanpa kompromi menurut lunas undang-undang. Kebebasan bersuara bukan alasan untuk menghina agama. Biar mati anak, jangan mati adat dan adat yang paling utama dalam negeri ini ialah menghormati agama sebagai tunjang kehidupan.

“Pada masa sama, saya ingin menegaskan bahawa mempertahankan kesucian Islam tidak bererti menafikan hak dan penghormatan terhadap agama-agama lain,” titah baginda.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img