SEORANG penyelia asrama sebuah sekolah di Negeri Sembilan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM78,000.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 4.40 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan, di Seremban.
Kata sumber itu, SPRM menahan reman seorang penyelia asrama sebuah sekolah di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM78,000 sebagai balasan mendapatkan kerja penyelenggaraan asrama ditempatnya bekerja.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada 2022 dengan meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang pemilik syarikat kontraktor baik pulih.
“Nilai keseluruhan kerja penyelenggaraan yang dilakukan di tempat suspek bekerja dianggarkan bernilai kira-kira RM114,000,” katanya.
Sumber memberitahu, perintah reman selama lima hari sehingga 8 Mac depan terhadap suspek dikeluarkan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Seremban hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


