SEORANG lelaki berusia 23 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini kerana melakukan serangan seksual terhadap sepupunya pada awal Ramadan baru-baru ini.
Hakim Amir Shah Amir Hassan membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap sepupunya yang berusia 14 tahun pada jam 3.30 pagi pada 23 Februari lalu di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di daerah Papar.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOACA) 2017, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan di bawah Seksyen 26 SOACA selama satu tahun sepanjang tempoh pemenjaraannya.
Selepas menjalani hukuman serta dibebaskan dari penjara, tertuduh juga dikehendaki berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun mengikut Seksyen 27 SOACA.
Menurut fakta kes, tertuduh memasuki bilik tidur mangsa dan melakukan serangan seksual, sambil mengarahkan mangsa supaya diam dan tidak memberitahu sesiapa.
Mangsa bagaimanapun memaklumkan kejadian itu kepada ibunya kira-kira jam 6 pagi pada hari sama.
Ibu mangsa membawanya ke balai polis untuk membuat laporan, sebelum tertuduh ditahan.
Ketika rayuan hukuman, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia adalah pencari nafkah keluarga dan perlu membantu ibunya yang juga ibu tunggal serta adiknya yang masih bersekolah.
Pemegang diploma itu berkata, dia kini menganggur dan sedang menunggu peluang pekerjaan. Tertuduh juga mengaku sedang berpuasa ketika hari kejadian.
Amir Shah berkata, beliau berasa simpati terhadap tertuduh dan bertanya mengapa melakukan perbuatan itu terhadap sepupunya, dan tertuduh menjawab: “Saya tersilap langkah.”
Hakim mengakui pengakuan berkenaan tetapi menegaskan kesalahan itu tidak boleh diperbetulkan semula dan keutamaan mahkamah adalah untuk melindungi mangsa, bukannya kepentingan peribadi tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pencegahan dengan mengambil kira fakta kes, hubungan kekeluargaan antara tertuduh dan mangsa, serta keperluan untuk memberi mesej jelas kepada orang ramai mengenai keseriusan kesalahan ini.


