Kanak-kanak cedera terkena tembakan senapang angin jiran

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun cedera selepas dipercayai terkena peluru senapang angin yang dilepaskan jirannya, di FELDA Seberang Tayor, dekat Kemaman, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, murid Tahun Empat itu cedera di bahagian belakang sebelah kiri badan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama abangnya sedang bermain di hadapan rumah mereka sebelum terdengar bunyi letupan kuat dan berasa sakit di belakang badannya.

“Mangsa menangis sebaik terkena tembakan itu dan kedua-dua ibu bapa mangsa yang menenangkan mangsa kemudian mendapati terdapat kesan kemerahan di belakang badan anaknya itu.

“Bapa mangsa juga menemui sebiji bebola besi berwarna kelabu di hadapan rumahnya dan mengesyaki bebola besi itu dijadikan peluru senapang angin yang digunakan jirannya,” katanya.

Mohd Razi berkata, bapa mangsa kemudiannya membuat laporan di balai polis kira-kira jam 5 petang semalam.

“Sebaik menerima laporan, polis menahan suspek yang berusia 58 tahun yang bekerja sebagai buruh ladang. Hasil siasatan, polis merampas dua laras senapang angin buatan sendiri berukuran 123 dan 107 sentimeter serta sembilan biji bebola besi,” katanya.

Katanya, hasil siasatan awal, suspek mengaku melepaskan satu das tembakan ke arah rumah mangsa yang berada pada jarak 40 meter dari rumahnya.

“Suspek mendakwa tidak menyangka tembakan yang dilepaskannya itu terkena mangsa. Suspek mengaku salah dan mendakwa selarasa senapang angin itu dibeli menerusi dalam talian tahun lalu, manakala selaras lagi direka sendiri bagi tujuan menembak burung.

“Hasil ujian air kencing terhadap suspek yang mempunyai 10 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah itu mendapati dia positif dadah jenis Morfin.

“Suspek ditahan reman selama empat hari hingga Ahad depan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mohd Razi berkata, mangsa yang cedera di bawah ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img