SPRM Kedah kemuka enam syor perbaiki tadbir urus JHEAIK

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah mengemukakan enam syor penambahbaikan tatakelola kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) bagi memperkukuh sistem pengurusan serta meningkatkan ketelusan dalam beberapa prosedur pentadbiran jabatan itu.

Syor berkenaan membabitkan tatacara pengambilan Guru Jabatan, Guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA), Guru Taman Didikan Kanak-Kanak Islam serta prosedur penerimaan sumbangan daripada pihak luar.

Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Kedah, Syed Aswadi Syed Soffian berkata, cadangan itu dibentangkan selepas pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap amalan, sistem serta tatacara berkaitan.

Katanya, cadangan itu dikemukakan kepada Bahagian Pendidikan JHEAIK.

“Selain itu, kita turut mencadangkan supaya peranan Jawatankuasa Pelantikan Guru JHEAIK ditambah baik serta Borang Akuan Bebas Konflik Kepentingan diperkemas bagi mengelakkan sebarang pertindihan kepentingan.

“Kita juga mencadangkan supaya pangkalan data bagi mengurus dan menyimpan rekod Guru Jabatan serta Guru Taman Didikan Kanak-Kanak Islam dikemas kini bagi memastikan pengurusan maklumat lebih sistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan syor berkenaan kepada Pengarah JHEAIK, Abd Ghani @ ZulkifliZainuddin di pejabat jabatan itu di Alor Setar, baru-baru ini.

Syed Aswadi berkata, dua lagi cadangan dikemukakan kepada Bahagian Pentadbiran dan Kewangan JHEAIK ialah mewujudkan garis panduan tatacara pengurusan hadiah, sumbangan, keraian atau tajaan daripada pihak luar.

“Kita turut mengesyorkan supaya Unit Integriti diwujudkan di JHEAIK bagi memperkukuh kawalan dalaman serta memastikan tadbir urus jabatan terus dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata, syor penambahbaikan itu dikemukakan berdasarkan pemeriksaan Unit Penyiasatan Tatakelola SPRM Kedah melalui peruntukan Seksyen 7(c), (d) dan (e) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Abd Ghani@ Zulkifli menzahirkan penghargaan kepada SPRM Kedah atas cadangan yang dikemukakan serta bersetuju supaya tindakan susulan diambil bagi menambah baik kelemahan yang dikenal pasti.

Turut hadir pegawai Unit Penyiasatan Tatakelola SPRM Kedah, E Mey E Boon Him, Rohaya Osman dan Mohd Syafiq Mazlan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img