AHLI Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini menggesa kerajaan mendedahkan penemuan penuh siasatan terhadap isu pegangan saham yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Bekas Menteri Ekonomi itu mendakwa, siasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Khas yang diketuai Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar telah mendedahkan lebih banyak saham di bawah nama Azam.
Dalam satu kenyataan, Rafizi mendakwa bahawa beliau mendapat maklumat daripada sumber di Putrajaya, Azam memiliki saham merentasi sembilan syarikat dengan jumlah gabungan RM14 juta.
“Berita terbaharu dari Putrajaya yang kini sedang berlegar, mengikut sumber-sumber kerajaan, adalah dakwaan mengenai penemuan siasatan ke atas pemilikan saham Azam Baki seperti berikut.
“Jumlah saham yang dimiliki berjumlah RM14 juta di dalam sembilan buah syarikat; dan pembelian saham-saham ini tidak mendapat kelulusan atau diisytiharkan seperti yang sepatutnya.
“Selagi kerajaan tidak mengumumkan hasil siasatan secara telus, termasuklah jumlah saham yang terlibat, jumlah syarikat dan bagaimana pelanggaran berlaku, spekulasi mengenai perkara-perkara ini akan terus bertiup kencang,” kata Rafizi, lapor Malaysiakini.
Rafizi seterusnya berkata, isu ini telah menimbulkan persoalan tentang sumber kekayaan Azam kerana jumlah tersebut tidak sepadan dengan pendapatan seorang penjawat awam kanan.
Dia menegaskan bahawa SPRM biasanya akan mengambil beberapa tindakan terhadap individu yang mempunyai jumlah kekayaan yang tidak dapat dijelaskan, termasuk membekukan akaun bank mereka dan mengarahkan mereka mengisytiharkan aset.
“Sekiranya dakwaan bahawa jumlah saham yang terlibat adalah RM14 juta di dalam sembilan syarikat itu benar, kegagalan kerajaan menyiasat punca kekayaan Azam akan dilihat sebagai bukti kerajaan bersubahat untuk melindunginya.
“Oleh sebab itulah, saya menggesa kerajaan dengan segera mengumumkan secara terperinci hasil siasatan setakat ini untuk mengelakkan spekulasi, termasuklah jumlah saham yang dimiliki dan jumlah syarikat-syarikat yang terbabit,” katanya.
Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberitahu sidang media bahawa Kabinet telah menerima dan membincangkan laporan oleh jawatankuasa kerajaan yang menyiasat pegangan saham Azam.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan bagaimanapun tidak mendedahkan butiran siasatan tersebut.


