MyCC siasat 87 syarikat disyaki terbabit kartel umrah

SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) mengenal pasti sebanyak 87 syarikat pengendali umrah yang dipercayai terlibat menjalankan kegiatan kartel ibadat itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNK), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, MyCC kini menjalankan siasatan tersebut kerana terdapat beberapa syarikat membuat perjanjian penetapan harga bagi penyediaan perkhidmatan perjalanan umrah di Malaysia.

“Apabila mereka menetapkan harga, pengguna tidak dapat tawaran terbaik. Sebab itu MyCC berperanan membanteras aktiviti kartel ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Program Jualan Rahmah MADANI Mega Aidilfitri 2026 dan Agihan Zakat Wakalah Korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia di pekarangan Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Isap Perdana di Kuantan hari ini.

Menurut Fuziah, orang ramai dinasihatkan merancang menunaikan umrah supaya mempertimbangkan aspek keselamatan semasa susulan konflik geopolitik.

“Dalam Islam, konsep isti ta’ah atau kemampuan perlu diambil kira. Jika keadaan tidak selamat, maka tidak menjadi kewajipan untuk menunaikan umrah. Keselamatan diri dan keluarga perlu diutamakan.”

Sementara itu, Fuziah berkata, kerajaan sedang meneliti langkah merapatkan jurang ketirisan bahan api bersubsidi dan komersial.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan semalam.

“Kita mengakui terdapat jurang ketara antara harga RON95 dan RON97. Perbezaan ini membuka ruang kepada ketirisan apabila pihak sepatutnya membeli pada harga komersial turut mendapatkan bekalan bersubsidi,” katanya sambil menambah kerajaan akan terus mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter demi kesejahteraan rakyat.

Mengenai program hari ini, katanya, 133 Program Jualan Rahmah MADANI Mega Aidilfitri dilaksanakan di seluruh Pahang sepanjang Ramadan kali ini.

Menurutnya, 45 lagi program itu dijadualkan berlangsung hingga 30 Mac ini untuk memastikan lebih ramai rakyat berpeluang mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan menjelang sambutan Aidilfitri.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img