DUA wakil penduduk menafikan dakwaan mereka cuba memeras ugut “wang perlindungan” daripada sebuah perniagaan, sambil menegaskan lawatan rasmi mereka ke sebuah pusat urut hanyalah untuk mendapatkan maklumat susulan aduan orang ramai.
Dua individu berkenaan, yang merupakan ahli Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) berkata mereka melakukan lawatan “pemantauan rutin” ke pusat urut di Wisma Setapak pada 24 Mac selepas menerima aduan daripada komuniti setempat yang bimbang premis itu mungkin menjalankan operasi secara tidak sah.
Timbalan Pengerusi MPPWP Sub Zon 2 Wangsa Maju, R Vijeyndran dan Pengerusi Sub Zon 6 Wangsa Maju, G Paarthiydasan,turut membuat laporan polis berhubung penyebaran video dalam talian yang merakam kehadiran mereka di pusat urut berkenaan.
Portal Malaysiakini melaporkan kedua-dua mereka menegaskan akaun Facebook dikenali sebagai “Kelab Penyokong Perikatan Nasional”, yang memuat naik klip rakaman CCTV itu pada 25 Mac, mempunyai niat jahat dan telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.
Vijeyndran berkata kapsyen pada hantaran tersebut, yang tular di media sosial dan mencetuskan kecaman meluas, adalah “tidak benar”.
Kapsyen itu mendakwa dua lelaki dalam video tersebut merupakan ahli jawatankuasa PKR bahagian Wangsa Maju dan sedang meminta bayaran daripada perniagaan tersebut.
“Apabila kami pergi ke premis itu, kami memperkenalkan diri sebagai ahli MPPWP sebelum menjelaskan bahawa kami tidak berada di situ untuk menyerang mereka atau mengambil wang mereka.
“Kami memberitahu seorang kakitangan di kaunter bahawa kami hanya ingin mendapatkan maklumat dan mahu memahami dengan lebih baik keadaan perniagaan mereka,” kata Vijeyndran
Paarthiydasan pula berkata kakitangan di kaunter tidak dapat memberikan maklumat berkaitan dan sebaliknya menghubungi individu lain yang dipercayai sebagai pihak atasan.
Katanya, mereka sekali lagi menjelaskan kepada pihak berkenaan bahawa mereka tidak mahu sebarang bayaran daripada perniagaan tersebut.
“Sebagai ahli MPPWP, kami bertindak sebagai mata dan telinga DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur). Jika kami ingin membuat laporan berdasarkan aduan orang ramai, kami masih perlu menjalankan semakan yang diperlukan.
“Kami tidak boleh sekadar membuat laporan kepada DBKL terhadap sesebuah perniagaan tanpa terlebih dahulu mengumpulkan semua maklumat yang diperlukan, kerana jika didapati premis itu mempunyai lesen yang sah, kami mungkin akan dituduh membuat laporan palsu,” kata Paarthiydasan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Lazim Ismail ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat oleh kedua-dua lelaki itu semalam.


