SEORANG lelaki warga emas maut manakala dua lagi cedera selepas kereta yang dinaiki terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Kampung Langsat, Papar awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa yang juga pemandu berusia 65 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Ketua Polis Daerah Papar Superintenden Heryan Mohd Tahir berkata, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Iswara yang terbabas sendiri.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kenderaan yang dipandu lelaki tempatan itu telah hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam sungai di sebelah kiri jalan.
” Pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Papar manakala dua lagi penumpang iaitu wanita berusia 63 tahun dan lelaki 41 tahun cedera dan dirawat di hospital sama,’’ katanya lapor Sinar Harian.
Katanya lagi, siasatan lanjut mendapati kejadian dipercayai berlaku disebabkan pemandu hilang kawalan semasa melalui laluan tersebut.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


