POLIS Johor menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif di bandar raya Johor Bahru selepas menahan tujuh individu bersama dadah bernilai RM1.24 juta dalam dua serbuan pada Isnin dan Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, mereka yang ditahan berusia antara 31 hingga 60 tahun termasuk dalang utama seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang berperanan mengatur semua aktiviti pengedaran dadah.
Beliau berkata, enam ahli sindiket lain yang ditahan termasuk dua warga asing bertindak sebagai pencari pelanggan dan pembungkus dadah.
Menurutnya, sindiket itu aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar bandar raya ini sejak Oktober tahun lalu terutama di pusat hiburan selain memiliki pelanggan tetap.
“Serbuan pertama dibuat di sebuah rumah di Taman Megah Ria, Seri Alam dan dalam serbuan itu, tiga lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang lelaki warga Singapura ditahan.
“Polis merampas dadah termasuk sembilan bekas disyaki dadah methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 7,800 gram bernilai RM1.17 juta, 40 botol dadah disyaki jenis cecair MDMA seberat 2,400 mililiter bernilai RM1,400.
“Polis turut merampas 44 peket disyaki ekstasi seberat 1,098 gram bernilai RM13,200,80 biji pil erimin 5 anggaran berat 22 gram bernilai RM1,600 dan dua peket disyaki syabu seberat 26 gram bernilai RM1,300,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.
Menurut Ab Rahaman, polis kemudian mengadakan serbuan kedua di sebuah rumah kedai di Taman Sri Tebrau, Johor Bahru dan menahan seorang wanita warga Vietnam dan seorang lelaki tempatan.
Katanya, menerusi serbuan itu, polis merampas dua peket disyaki MDMA seberat 69 gram (RM10,350), 212 biji pil ekstasi seberat 65.08 gram (RM10,600), tiga peket disyaki ketamin seberat 310 gram (RM15,500), empat peket serbuk ekstasi seberat 76 gram (RM1,200), peket syabu seberat 100 gram (RM5,000), dua peket disyaki heroin seberat 174 gram (RM8,700).
“Polis turut merampas 52 katrij disyaki dadah jenis cecair ketamin seberat 104 mililiter bernilai RM7,800.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak 9.74 kilogram dan 2.40 liter dengan nilai pasaran dianggarkan RM1.24 juta,” katanya.
Ab Rahaman berkata, modus operandi sindiket ini adalah menjadikan rumah berpagar dan berpengawal sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati enam daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala seorang lagi suspek positif dadah jenis benzodiazepine.
“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 31 Mac sehingga 6 April,” katanya yang turut memaklumkan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati lima daripada suspek memiliki rekod kes jenayah dan dadah.
“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan jumlah keseluruhan sitaan adalah sebanyak RM58,553 termasuk sebuah Perodua Alza, kereta Inokom Santa dan motosikal Honda Vario serta wang tunai SGD178 (RM553).
“Nilai anggaran sitaan dan rampasan adalah RM1.3 juta,” katanya.


