PANGLIMA Tentera Republik Islam Iran, Mejar Jeneral Amir Hatami, menegaskan bahawa angkatan tentera negara itu berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi untuk menghadapi sebarang ancaman musuh, termasuk kemungkinan serangan darat.
Menurut laporan Tasnim News Agency, Hatami berkata demikian ketika berhubung secara dalam talian dari sebuah pusat perintah dan kawalan tentera dengan para komander pasukan darat, pertahanan udara, udara dan laut di seluruh Iran.
Beliau mengarahkan semua komander supaya memantau setiap pergerakan musuh dengan penuh kewaspadaan dan ketelitian, serta bersedia melaksanakan pelan tindak balas mengikut bentuk serangan yang mungkin dilancarkan.
Dalam kenyataan tegas, Hatami menekankan bahawa sekiranya musuh melancarkan operasi darat, tiada seorang pun daripada mereka harus dibiarkan hidup.
Mengulas lanjut, beliau berkata strategi Iran adalah jelas iaitu memastikan negara bebas daripada ancaman perang dan menjamin keselamatan menyeluruh kepada rakyat.
“Tidak boleh ada kawasan yang selamat (untuk tentera AS) sedangkan rakyat kita tidak berada dalam keadaan aman,” katanya.
Hatami turut menyifatkan kenyataan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berhubung perubahan peta Iran selepas perang sebagai tidak berasas, sambil mendakwa ia mencerminkan niat sebenar musuh Amerika–Zionis untuk menghapuskan kewujudan Iran.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat untuk bersatu di bawah pendekatan “semua untuk Iran” dan meneruskan perjuangan sehingga mencapai kemenangan mutlak.
Dalam masa sama, Hatami merujuk kepada kempen rakyat “Pengorbanan Jiwa untuk Iran” yang tercetus susulan ancaman terhadap kawasan pantai, pulau dan sempadan negara itu.
Beliau menegaskan bahawa seluruh anggota tentera bersedia berkorban demi mempertahankan kedaulatan dan maruah Iran.


