ANAK bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta membabitkan pegangan saham di lima syarikat, tiga tahun lalu.
Asnida Abdul Daim, 65, membuat pengakuan itu dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 8 November 2023.
Notis berkenaan dihantar pegawai SPRM pada 14 November 2023, kerana tidak mengisytiharkan harta iaitu pegangan saham dalam lima syarikat.
Lima syarikat tersebut adalah Amiraz Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Transgrade Sdn Bhd dan Gajah3 Foods Sdn Bhd.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 13 Disember 2023 di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh didenda maksimum RM100,000.
Mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah. Mahkamah turut menetapkan 21 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mahadi Abdul Jumaat manakala Asnida diwakili peguam Datuk Dr Gurduan Singh Nijar dan Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.
Terdahulu, Asnida yang memakai kemeja biru gelap tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 8.45 pagi diiringi ahli keluarga dan peguam.
Semalam, dia memberi keterangan kira-kira lima jam di ibu pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir pada jam 9.50 pagi.
Media sebelum ini melaporkan Notis Kesan Individu dikeluarkan ke atas empat anak Allahyarham Daim susulan kegagalan mereka memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi yang diserahkan SPRM berkaitan perisytiharan aset.
Selain Asnida, tiga lagi anak Allahyarham Daim ialah Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin.
Bagaimanapun, SPRM semalam memaklumkan akan memohon Notis Merah melalui polis antarabangsa (Interpol) terhadap individu yang gagal mematuhi arahan untuk hadir memberi keterangan berhubung siasatan melibatkan anak bekas Menteri Kewangan itu.
Dalam kenyataan semalam, SPRM memaklumkan tindakan itu, susulan kegagalan dua anak Allahyarham Tun Daim iaitu Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin hadir memberi keterangan seperti diarahkan.


