JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan sebanyak 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tinggal bersesak di dalam sebuah rumah di Kampung Baru Muafakat, Johor Bahru awal pagi ini.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, serbuan Ops Sapu itu menyasarkan kediaman dalam penempatan setinggan yang menjadi kawasan tumpuan warga asing.
Beliau berkata, ketika serbuan, pihaknya mendapati rumah tersebut mempunyai banyak bilik dan dihuni golongan dewasa serta kanak-kanak.
Menurutnya, menyedari kehadiran pihak berkuasa, ada dalam kalangan warga asing yang ketika itu sedang berehat di dalam rumah cuba melarikan diri dan sesetengahnya bersembunyi bagi mengelak pemeriksaan.
“Bagaimanapun mereka berjaya diberkas dan hasil serbuan itu, seramai 40 warga asing ditahan terdiri daripada 31 lelaki Pakistan, tiga lelaki Myanmar, dua wanita Indonesia dan dua wanita Myanmar.
“Turut ditahan masing-masing seorang kanak-kanak lelaki Myanmar dan kanak-kanak perempuan Indonesia. Kesemuanya dipercayai menghuni rumah berkenaan sejak dua bulan lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rusdi berkata, kesemua warga asing berusia antara dua hingga 59 tahun itu tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal lebih masa.
Katanya, kesemua mereka kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.


