Malaysia minta Bangladesh pertimbang kurang kos pengambilan pekerja – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini meminta kerajaan Bangladesh untuk mempertimbangkan langkah pengurangan kos bagi pengambilan pekerja dari negara itu ke Malaysia.

Perdana Menteri menerusi hantaran dalam Facebook rasmi beliau berkata, langkah itu adalah demi kesejahteraan pekerja.

“Saya tegaskan keperluan untuk mengurangkan kos pengambilan pekerja asing serta meminta Kerajaan Bangladesh mempertimbang langkah mengurangkan kos ini demi kesejahteraan pekerja,” katanya.

Perdana Menteri menyatakan perkara itu ketika menerima kunjungan hormat Menteri Buruh dan Pekerjaan Bangladesh, Ariful Haque Choudhury bersama Penasihat kepada Perdana Menteri Bangladesh, Dr Mahdi Amin di Putrajaya hari ini.

Pertemuan itu bagi membincangkan kerjasama dua hala serta isu berkepentingan antara kedua-dua negara.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata, Malaysia juga komited untuk terus melindungi kebajikan ratusan ribu pekerja Bangladesh di negara ini khususnya dalam sektor pembinaan dan pembuatan.

Pada pertemuan itu, Anwar turut mengulangi ucapan tahniah kepada Tarique Rahman yang dilantik sebagai Perdana Menteri Bangladesh pada 17 Februari lalu.

Tarique, 60, yang juga Pengerusi Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), ialah anak bekas Perdana Menteri Khaleda Zia dan bekas Presiden Ziaur Rahman.

“Saya sekali lagi mengulangi jemputan agar beliau berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat,” katanya.

Perdana Menteri juga berharap agar persahabatan Malaysia-Bangladesh akan terus diperkukuh berteraskan saling percaya dan manfaat bersama.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img