KPDN bongkar taktik pemilik premis gunting minyak masak peket, pindah dalam botol

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor mengesan taktik digunakan sebuah premis makanan iaitu menggunting minyak masak peket bersubsidi sebelum memindahkannya ke dalam botol menerusi satu operasi di Taman Megah Ria di Pasir Gudang kelmarin.

Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu yang dijalankan dengan kerjasama KPDN Melaka selepas menerima maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan.

“Hasil pemeriksaan mendapati pemilik premis itu menggunting peket minyak masak bersubsidi sebelum dituangkan ke dalam botol dipercayai bagi kegunaan operasi perniagaan.

“Pegawai penguat kuasa turut menemukan peralatan seperti gunting, corong dan botol yang dipercayai digunakan untuk aktiviti berkenaan di dalam premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati premis terbabit menyimpan barang kawalan berjadual iaitu gula, minyak masak peket dan tepung gandum tanpa permit sah.

Susulan itu katanya, seorang lelaki yang juga pengurus premis ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menyita minyak masak peket bersubsidi, gula, tepung gandum serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk penyelewengan.

Kes ini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, jika sabit kesalahan, katanya.

Beliau menegaskan KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan.

Sehubungan itu, orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez Adu KPDN.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img