SEORANG lelaki warga emas maut selepas dipijak seekor gajah liar dalam kejadian di Ladang Begahak 2, Jalan Tungku, Lahad Datu, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa berusia 69 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah, termasuk patah tulang kaki betis dan tulang rusuk.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa bersama anak lelakinya berusia 38 tahun sedang menutup pagar kebun sebelum pulang dari kawasan ladang kelapa sawit berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, secara tiba-tiba seekor gajah liar muncul lalu menyerang kedua-dua mangsa.
“Akibat serangan itu, mangsa tidak sempat melarikan diri sebelum dipijak oleh haiwan berkenaan, manakala anaknya berjaya menyelamatkan diri.
“Anak mangsa turut menjerit meminta bantuan dan cuba mengalih perhatian gajah sebelum haiwan itu beredar dari lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, selepas keadaan kembali selamat, anak mangsa mendapatkan bapanya sebelum membawanya ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor sebaik tiba di hospital,” katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati gajah terbabit bergerak secara bersendirian dan bukan dalam kumpulan.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat di Balai Polis Tungku atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk terutama di kawasan Tungku supaya sentiasa berwaspada dengan kehadiran gajah liar di kawasan masing-masing.


