
Oleh Penulis Khas
MASIH viral laporan media Filipina yang melaporkan mereka menerima bekalan diesel dari Malaysia berjumlah 328,000 tong.
PETRONAS dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semalam telah menafikan bahawa Malaysia terlibat dengan urusniaga tersebut.
Sebenarnya media Filipina telah melaporkan lebih awal Selasa (7 April) lalu bahawa Setiausaha Tenaga Filipina memaklumkan bahawa ada 300,000 tong diesel akan tiba pada 10 April (Jumaat) dari Malaysia melalui Singapura yang dibeli daripada Vitol syarikat perdagangan komoditi antara terbesar di dunia.
Jadi memang benar ia tiada kaitan dengan Petronas mahupun kerajaan sebab Kerajaan Filipina sendiri memaklumkan ia dibeli melalui Singapura daripada syarikat Vitol dan bukan secara langsung melalui Kerajaan (G2G) atau Petronas.
Persoalan yang timbul apakah minyak tersebut dari Malaysia? Tidak ada bukti jelas minyak tersebut dari Malaysia. Perdagangan eksport dan import komoditi seperti minyak sangat kompleks melibatkan banyak negara termasuk Malaysia.
Mari kita rujuk data perdagangan diesel Malaysia melalui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Tahun lepas Malaysia mengeksport diesel ke luar negara bernilai RM58 bilion. Bunyi macam banyak kan?
Tapi itu hanya angka besar “headline” seperti yang orang putih kata “devils are in the details” atau kita kena tengok data secara lebih mendalam untuk mengetahui perkara sebenar.
Daripada sebahagian besar eksport diesel Malaysia ke luar negara, RM37.5 bilion sebenarnya adalah re-exports atau eksport semula yang bermaksud diesel yang dieksport semula adalah diesel yang Malaysia import dari luar negara kemudiannya dieksport semula ke luar negara.

Dalam masa yang sama Malaysia mengimport RM47.6 bilion diesel tahun lepas bermakna, sebahagian besar minyak diesel yang Malaysia eksport sebenarnya adalah bersumber daripada negara luar.
Dalam bahasa mudahnya kita import dari luar negara untuk kita eksport semula. Apa yang Malaysia buat sama seperti Singapura iaitu negara kita menjadi hub perdagangan minyak di rantau Asia.
Kita import RM47.6 bilion diesel dari luar negara, RM37.5 bilion kita eksport semula ke luar negara dan RM10.1 bilion untuk kegunaan domestik.
Jadi tidak benar mengatakan kerajaan dan Petronas seolah-olah menganaktirikan rakyat Malaysia dengan mengutamakan negara luar.
Dan perlu diingat kebanyakan eksport diesel ke luar negara adalah pembelian yang telah dikontrakkan (contracted purchase) yang dibuat lebih awal dan menjadi tanggungjawab Malaysia untuk menjual untuk tidak melanggar kontrak yang telah ditandatangani.
Ramai yang akan baca headlines, tapi tak ramai nak baca data dan fakta sebenar.
Fakta sebenar Malaysia adalah pengimport bersih minyak mentah kerana pengeluaran minyak mentah negara tidak mencukupi untuk menampung permintaan dan keperluan domestik di fasiliti penapisan dalam negara di Kerteh Terengganu, Port Dickson Negeri Sembilan, Sungai Udang Melaka dan Pengerang Johor.
Malaysia juga menjadi pusat perdagangan minyak Asia dengan import dan eksport yang berlaku setiap masa bersama-sama Singapore yang juga hub besar perdagangan minyak Asia.


