Dua pengarah syarikat didakwa 18 pertuduhan gagal bayar cukai

DUA pengarah syarikat yang menjalankan perniagaan pembuatan dan pemasaran barangan sembahyang didakwa di Mahkamah Sesyen George Town, hari ini atas 18 pertuduhan gagal membayar cukai jualan.

Orang Kena Saman (OKS), Moganadass Virachami, 45, dan ibunya, Saroja Devi Subramaniam, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua pengarah KVS Industries Sdn Bhd itu didakwa gagal membayar cukai jualan bagi 18 tempoh bercukai antara 1 Mac 2021 hingga 31 Disember 2023, membabitkan tunggakan keseluruhan termasuk penalti berjumlah RM16,145.44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Pendaftaran dan Pengurusan Hasil, Kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Seberang Jaya antara 1 Jun 2021 hingga 1 Februari 2024.

Sehubungan itu, OKS didakwa di bawah Seksyen 26(5) Akta Cukai Jualan 2018 yang dibaca bersama Seksyen 26(9) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Karthy Gasedev Deva Rajoo, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img