SEORANG guru wanita yang dipercayai merempuh dua pelajar di hadapan surau sekolah hingga mengorbankan seorang pelajar Tingkatan Satu akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, guru berusia 57 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis pagi ini selepas tempoh remannya tamat.
“Hari ini guru berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis namun akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebaik siasatan selesai.
“Kita juga sudah merakam keterangan guru berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan IPK, Kota Bharu, hari ini, lapor Buletin TV3.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari kelmarin di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Mas, seorang pelajar perempuan maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Seorang lagi mangsa dilaporkan parah dan kini masih menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Semalam, guru berkenaan direman dua hari di Mahkamah Majistret di sini hingga hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Mohd Azmir Damiri sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu tertekan pedal minyak sebelum kenderaan terbabas dan melanggar kedua-dua pelajar berkenaan.


