ORANG ramai khususnya golongan remaja dan belia diingatkan supaya lebih berwaspada terhadap ancaman minuman yang dicampur dadah di pusat hiburan, yang disifatkan sebagai modus operandi licik dan semakin membimbangkan.
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam satu hantaran di Facebook berkata, minuman yang dicemari bahan terlarang sering tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara dari segi bau atau rasa, sekali gus menyukarkan mangsa mengesannya.
Menurutnya, mangsa berisiko mengalami khayal secara tiba-tiba, hilang kawalan diri serta terdedah kepada pelbagai bahaya termasuk masalah kesihatan serius, risiko terlebih dos dan kemalangan jalan raya.
“Situasi ini bukan sahaja mengancam keselamatan individu, malah boleh membuka ruang kepada jenayah lain,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dengan minuman masing-masing, tidak menerima minuman daripada individu tidak dikenali serta tidak meninggalkan minuman tanpa pengawasan.
Dalam masa sama, ibu bapa dan penjaga turut disaran memainkan peranan dengan memantau pergaulan anak-anak agar tidak terdedah kepada situasi berisiko.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah boleh menyalurkannya kepada pihak berkuasa melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222.
“Dadah adalah musuh nombor satu negara. JSJN komited memastikan generasi kini dan akan datang terus dilindungi,” tambah kenyataan itu.


