AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) merampas tujuh kontena ayam dan itik sejuk beku bernilai lebih RM1 juta yang disyaki mempunyai sijil halal meragukan serta terbabit dalam pemalsuan dokumen.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, rampasan dilakukan pada 9 April lalu di Tapak Pemeriksaan Kontena CT2, Pelabuhan Klang Utara.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati enam kontena membawa ayam sejuk beku dan satu kontena itik sejuk beku dengan jumlah berat 187,800 kilogram dan anggaran nilai RM1,062,048.
“Hasil semakan dokumen mengesan cubaan pemalsuan, termasuk penggunaan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang meragukan serta sijil kesihatan yang disyaki tidak sah.
“Siasatan juga mendapati kontena tersebut bukan berasal dari China seperti diisytiharkan, sebaliknya dari negara lain berhampiran,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati ketidaksepadanan maklumat dalam invois, senarai bungkusan serta nombor siri kontena.
Nik Ezanee berkata, semua dagangan disita bagi mencegah risiko kemasukan penyakit haiwan serta memastikan keselamatan makanan dan kesihatan awam negara terpelihara.
“Kes akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia untuk siasatan lanjut,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata satu lagi kontena mengandungi 25,000 kilogram babi sejuk beku dari Australia bernilai RM204,000 turut ditahan untuk siasatan.


