JABATAN Peguam Negara (AGC) akan meneliti secara adil dan saksama berhubung kes guru yang dipercayai merempuh dua pelajar di dalam sebuah sekolah di Kelantan kelmarin sebelum memutuskan sebarang proses pendakwaan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, setakat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menyerahkan kertas siasatan kepada pihaknya.
“Perkara ini akan diteliti secara saksama dan adil selepas siasatan lengkap diperoleh dari PDRM.
“Setakat ini kita belum putuskan guru berkenaan akan didakwa mengikut seksyen yang mana, sebaliknya menunggu kertas siasatan daripada PDRM terlebih dahulu.
“Kita akan buat keputusan sebaik siasatan selesai sepenuhnya. Saya percaya siasatan polis mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mangsa meninggal dunia, namun keputusan akhir untuk tuduh belum dipastikan mengikut seksyen mana,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat hari ini memaklumkan, guru yang dipercayai merempuh dua pelajar berkenaan akan didakwa dalam masa terdekat.
Menurutnya, guru wanita berusia 57 tahun itu kini dibebaskan dengan jaminan polis.
Dalam kejadian jam 1.50 petang kelmarin, pelajar perempuan tingkatan satu maut, manakala seorang lagi parah selepas dirempuh kenderaan yang dipandu guru wanita di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Kota Bharu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati, pemandu wanita dipercayai tertekan pedal minyak kenderaan lalu terbabas, sebelum melanggar dua pelajar perempuan berkenaan.


