SEORANG penjawat awam berputih mata apabila kerugian lebih RM50,000 selepas dua kali terpedaya dengan penipuan dalam talian membabitkan pembelian kereta dan khidmat perunding tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa lelaki berusia 48 tahun itu pada awalnya terpedaya dengan iklan jualan kereta di media sosial pada 8 April lalu.
Menurutnya, mangsa kemudian membuat enam transaksi ke lima akaun berbeza sebelum menyedari dirinya mungkin ditipu.
“Selepas itu, mangsa cuba mendapatkan bantuan melalui media sosial dan berhubung dengan individu yang menyamar sebagai pegawai penyiasat komersial.
“Bagi tujuan itu, mangsa membuat tiga lagi transaksi ke akaun berbeza, namun masih tidak menerima sebarang penyelesaian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa turut cuba mendapatkan pinjaman wang secara dalam talian, namun sekali lagi menjadi mangsa penipuan apabila membuat beberapa lagi transaksi.
Akibatnya, mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM53,035 membabitkan wang simpanan serta pinjaman daripada ahli keluarga.
“Mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada jam 4.29 petang semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.


