KES membabitkan seorang anak penyanyi terkenal 90-an dan dua rakannya yang didakwa mencuri kereta Ferrari dua tahun lalu, selesai selepas pengadu kes itu menarik balik laporan polis terhadap semua tertuduh.
Peguam Muhamad Firdaus Jumaludin yang mewakili anak penyanyi itu, Mohd Aliff Naim Mohd Azmir, 40, berkata, pertikaian antara pengadu dan tertuduh sudah diselesaikan termasuk permohonan maaf secara baik.
“Difahamkan, pengadu sudah membuat satu laporan dengan menyatakan menarik balik laporan polis itu semalam.
“Kita sedang menunggu laporan rasmi (mengenai penarikan balik laporan polis) daripada pihak penyiasat untuk diserahkan kepada mahkamah bagi tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes di pekarangan Kompleks Mahkamah Ampang hari ini.
Terdahulu dalam prosiding kes itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aizudin Radthuan memohon perbicaraan ditangguhkan ke tarikh lain memandangkan pihaknya tiada rekod mengenai penarikan balik laporan polis.
“Justeru, kami memohon kes hari ini dilapangkan dan menetapkan tarikh lain untuk sebutan kes bagi semakan pihak kami mengenai penarikan balik laporan itu,” katanya.
Peguam, Simran Kaur dan Wan Nur Afifah Che Bakar yang mewakili Norqyyum Zainori; Muhammad Firdaus dan Muhammad Ashraf Marzuki (mewakili Mohd Aliff) serta Siti Syaerah Meor (mewakili Nor Kamrulazli Muhamed Noor Husen) tidak membantah permohonan itu.
Majistret Normaizan Rahim membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan 27 April ini untuk sebutan semula kes.
Mohd Aliff, Norqyyum dan Nor Kamrulazli mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri kereta Ferrari yang ditinggal di pusat cuci kereta di Hulu Klang.
Mengikut pertuduhan utama, mereka didakwa bersama-sama dengan niat curang mencuri sebuah kereta Ferrari bernilai RM300,000 daripada milikan seorang wanita berusia 53 tahun di sebuah pusat cuci kereta di Jalan Hillview, Hulu Kelang pada jam 11.08 pagi, 17 November 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Bagi pertuduhan pilihan, mereka didakwa menyimpan harta curi iaitu sebuah kereta Ferrari bernilai RM300,000 daripada milikan wanita sama dengan mengetahui harta itu adalah harta curi.
Oleh itu mereka didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


