SEORANG lelaki warga emas meninggal dunia selepas dipercayai rebah ketika berada di sebuah kelab rekreasi di Jalan Boundry, Ayer Itam di Georgetown malam tadi.
Lelaki terbabit merupakan pelanggan kelab warga tempatan, ditemukan terjatuh dari kerusi dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 7.10 malam semasa berhibur di premis itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Pusat Panggilan Hospital Seberang Jaya kira-kira jam 7.48 malam memaklumkan tentang kematian seorang lelaki berusia 65 tahun di kelab itu.
“Kematian lelaki terbabit disahkan oleh petugas perubatan ambulans pada jam 7.34 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Swee Sake berkata, pemeriksaan terhadap tubuh mangsa tidak menemukan sebarang kecederaan mencurigakan, manakala siasatan di lokasi kejadian juga tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah.
Beliau memberitahu, hasil bedah siasat yang dijalankan hari ini mendapati punca kematian akibat saluran darah utama pecah (ruptured dissecting aortic aneurysm).
Beliau berkata, kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan satu Laporan Mati Mengejut (LMM) telah dibuka bagi melengkapkan siasatan.


