LIMA buah lagi kapal Malaysia masih terkandas di Selat Hormuz berikutan ketegangan di Asia Barat.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat ini dua lagi kapal Malaysia dalam perjalanan pulang.
“Pada waktu ini dimaklumkan terdapat dua kapal yang dalam perjalanan. Satu dijangka tiba pada 17 April (Jumaat) manakala satu lagi mungkin minggu yang berikutnya.
“Terdapat lima kapal yang masih lagi berada di Selat Hormuz,” katanya pada sidang akhbar Taklimat Khas Krisis Tenaga Global dan pasca Mesyuarat Kabinet di sini pada Rabu.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, isu Selat Hormuz dijangka menjadi antara perkara yang akan dibangkitkan dalam pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Australia, Anthony Norman Albanese, yang akan melakukan lawatan rasmi ke Malaysia Khamis ini.
“Saya percaya Perdana Menteri akan bangkitkan pendirian Malaysia mengenai isu konflik di Asia Barat dan sudah pasti isu mengenai keadaan sekatan yang berlaku di Selat Hormuz tu akan dibincangkan,” katanya.
Mengenai lawatan itu Fahmi berkata sekurang-kurangnya dua perjanjian persefahaman (MoU) dijangka dimeterai antara kedua-dua negara.
Perbincangan dua hala itu dijangka turut menyentuh isu berkaitan krisis tenaga global yang memberi tekanan kepada banyak negara termasuk Malaysia.


