Op Pusak Merah: 21 ahli kumpulan kongsi gelap direman enam hari

POLIS menahan sebanyak 21 lelaki disyaki ahli kumpulan kongsi gelap dalam operasi khas dikenali Op Pusak Merah yang menyasarkan sindiket terbabit dalam jenayah kekerasan di Sarawak sejak 2024.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, operasi dijalankan secara kolaborasi antara Bahagian Jenayah Berat (D9), JSJ Bukit Aman bersama JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak semalam.

Beliau berkata, serbuan dijalankan di beberapa lokasi berasingan sekitar Kota Samarahan, Kuching, Simunjan dan Padawan dan hasilnya, kesemua suspek tempatan berusia antara 19 hingga 44 tahun diberkas.

“Semakan awal mendapati kesemua mereka mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau seperti merusuh, mendatangkan cedera parah, samun, khianat serta jenayah dadah.

“Kesemua suspek direman selama enam hari bermula semalam hingga 20 April ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kumar, operasi itu dilaksanakan sebagai langkah proaktif bagi melumpuhkan sindiket yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pemerasan, rusuhan serta serangan menggunakan senjata sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk setempat.

Tambah beliau, usaha mengesan serta menangkap beberapa individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian kumpulan terbabit sedang giat dijalankan.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh bersenjata, Seksyen 326 kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata, Seksyen 384 (pemerasan), Seksyen 394 (cedera ketika rompakan), Seksyen 427 (khianat) serta Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api atau bahan letupan.

Beliau menegaskan, tindakan berterusan akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terbabit dalam aktiviti gangsterisme dan jenayah kekerasan bagi memastikan keamanan masyarakat terus terpelihara.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img