DSP polis antara enam lelaki didakwa rompak berkumpulan guna pistol

ENAM lelaki termasuk seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintenden (DSP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengacukan pistol dan melakukan rompakan berkumpulan di kawasan perumahan di sekitar Kepong, awal bulan ini.

Pegawai polis terbabit, Ahmad Ruzaini Ahmad Dahalan, 41, bersama lima lagi tertuduh iaitu Abd Samat Shaari, 44, Faridzuan Yahya, 31, Lim Cheal Kei, 51, Yeoh Choon Siang, 47, dan L Jijayendran, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Suhaila Haron, Noridah Adam, Mazuliana Abdul Rashid dan Siti Shakirah Mohtarudin di empat Mahkamah Sesyen berasingan.

Mengikut dua pertuduhan, Ahmad Ruzaini yang pernah bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman didakwa bersama-sama lima yang lain, dalam mencapai niat bersama melakukan rompakan dengan menunjukkan senjata api iaitu sepucuk pistol terhadap dua individu hingga mendatangkan ketakutan dan kematian.

Bagi kesalahan itu, lelaki yang telah digantung tugas sejak Januari lalu didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan dikenakan minimum enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang penghuni sebuah rumah, mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan perumahan Desa Parkcity di Sentul, Kuala Lumpur antara jam 4 hingga 8.10 pagi, 5 April lalu.

Sementara itu, lima individu tersebut turut didakwa atas tiga pertuduhan sama di tempat dan masa yang sama.

Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nordin Ismail tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu merupakan kesalahan berat yang tidak boleh dijamin manakala peguam John Ramesh Das mewakili Ahmad Ruzaini, Marthavan Manikam bagi Abd Samat, Faridzuan dan Lim manakala R Kirthiraj yang bertindak bagi Yeoh dan Jijayendran tidak membantah cadangan pihak pendakwaan.

Kesemua mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap keenam-enam tertuduh dan menetapkan sebutan kes pada 25 Mei depan.

Pada 10 April lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan seorang pegawai polis ditahan kerana dipercayai menjadi dalang beberapa siri jenayah samun bersenjata melibatkan nilai RM4.4 juta di sekitar Kepong.

Sindiket terbabit melarikan tiga kenderaan mewah jenis Rolls-Royce, Bentley dan Toyota Alphard, selain sebuah peti besi, wang tunai RM24,200, mata wang asing bernilai ASD1,200, pelbagai barang kemas serta dua jongkong emas.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img