SEBANYAK 26 ahli kumpulan jenayah terancang yang melakukan pelbagai jenayah kekerasan di Sarawak didakwa di Mahkamah Sesyen Kuching hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara pada Isnin lalu.
“Pihak pendakwaan bersetuju untuk mendakwa kesemua 26 ahli kumpulan termasuk tiga yang masih bebas di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.
“Pertuduhan terhadap semua ahli kumpulan itu dijalankan di Mahkamah Sesyen Kuching pada jam 2.30 petang Jumaat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata, daripada jumlah itu, seramai 23 suspek telah ditahan menerusi Op Pusak Merah pada 19 hingga 23 April lalu, manakala tiga lagi ahli kumpulan masih bebas dan sedang diburu pihak berkuasa.
“Kumpulan terbabit diketuai seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dengan keahlian seramai 26 individu berusia antara 19 hingga 44 tahun.
“Kesemua suspek yang ditahan kini direman mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga 18 Mei ini.
“Turut dirampas dalam operasi berkenaan adalah selaras senjata api jenis pump gun, sejumlah peluru 12 bore pelbagai jenama, dua bilah pedang samurai dan dua bilah parang panjang,” katanya.
Kumar berkata, operasi khas yang dilaksanakan JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Kontinjen Sarawak itu berjaya melumpuhkan sindiket jenayah yang dipercayai aktif sejak 2020.
“Kita juga telah mengenal pasti identiti tiga lagi ahli kumpulan yang masih bebas dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati kumpulan berkenaan menjalankan kegiatan pemerasan bagi mendapatkan wang perlindungan selain menyerang premis-premis yang gagal membuat bayaran.
“Kumpulan itu turut melakukan ugutan jenayah serta mencederakan individu yang enggan menuruti kehendak mereka.
“Mereka juga dipercayai melakukan pelbagai kesalahan serius untuk memperluaskan kuasa dan pengaruh selain mendapatkan faedah material bagi kumpulan,” katanya.
Menurut beliau, semua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kes bunuh, rompakan berkumpulan, khianat dengan api, menyebabkan kecederaan dan kecederaan parah, ugutan jenayah, pecah rumah, curi kenderaan, memiliki barang curi serta pengedaran dadah.
“Kejayaan operasi itu berjaya menyelesaikan kira-kira 25 kes jenayah dan melumpuhkan satu sindiket jenayah kekerasan yang aktif di Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, Kumar memaklumkan, sejak mengambil alih jawatan Pengarah JSJ pada Ogos 2025, pihaknya telah berjaya melumpuhkan enam kumpulan jenayah terancang dengan seramai 81 suspek berjaya dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan.
“JSJ terus komited menjalankan operasi berterusan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam aktiviti gangsterisme dan jenayah kekerasan bagi memastikan keamanan serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.


