POLIS sedang mengesan seorang pemandu bas ekspres yang disyaki memandu secara berbahaya selepas rakaman video kejadian itu tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah selepas video berdurasi 1 minit 20 saat tular jam 1.05 petang tadi.
Menurut beliau, rakaman itu memaparkan pemandu bas ekspres terbabit memandu dalam keadaan duduk menyandar ke belakang serta hanya menggunakan sebelah tangan untuk mengawal stereng ketika kenderaan sedang bergerak pada waktu malam.
“Siasatan awal dipercayai nombor pendaftaran bas itu adalah BSB 4999 dan dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru.
“Lokasi kejadian dipercayai berlaku di Kilometer 196.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, namun masih dalam siasatan lanjut pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad berkata, perlakuan individu itu boleh menjejaskan kawalan kenderaan selain mengganggu tumpuan pemandu serta membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.
“Polis meminta pemandu bas itu tampil segera ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Alor Gajah bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011-2543 5507 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Sementara itu, syarikat Billion Stars Express dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pemandu bas terbabit digantung tugas serta-merta susulan video tular yang mendakwa dia memandu dalam keadaan tidak stabil.
Menurut syarikat itu, pihaknya memandang serius insiden itu yang dikaitkan dengan bas bernombor BSB 4999 milik mereka.
“Pihak syarikat menerima aduan orang awam semalam, sebelum siasatan dalaman dijalankan serta-merta. Pemandu itu sudah diarahkan hadir ke pejabat bagi membantu siasatan serta menjalani ujian saringan keselamatan, namun didapati tidak memberikan kerjasama sepenuhnya.
“Sehubungan itu, pemandu terbabit digantung tugas serta-merta sementara siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan syarikat dan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna.
“Pihak kami juga ingin memohon maaf atas sebarang kebimbangan yang timbul kepada penumpang dan orang awam.
“Kami komited untuk menambah baik prosedur operasi termasuk pemantauan lebih ketat dan latihan berterusan kepada semua pemandu,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, syarikat berkenaan memaklumkan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kami akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa termasuk APAD dan JPJ bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terjamin,” katanya.


